Sentiasa komited kepada standard halal

Konsep Halal merupakan sebahagian daripada McDonald’s Malaysia. Sejak dari awal penubuhannya lagi, amalan-amalan Halal telah dilaksanakan bukan sahaja untuk menepati keperluan penduduk yang terutamanya beragama Islam di negara ini tetapi juga untuk memastikan makanan yang disediakan adalah bermutu tinggi.

Kewujudan Jawatankuasa Halal Dalaman di McDonald’s Malaysia, yang menyelia perlaksanaan konsep Halal, membuktikan komitmen tinggi syarikat untuk mematuhi standard Halal. Jawatankuasa tersebut dibantu oleh dua penasihat Syariah luaran.

Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman dan Ahli Lembaga Pengarah McDonald’s Malaysia, Wan Mohd Zam Wan Embong berkata, syarikatnya telah menerima pakai sepenuhnya konsep Halal dan mengikuti Standard Malaysia Berkenaan Makanan Halal (MS 1500-2009) yang menetapkan peraturan bagi produk-produk makanan Halal, merangkumi pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan (khusus untuk restoran-restoran).

Beliau berkata, setiap jabatan di McDonald’s Malaysia, secara langsung atau tidak langsung, berusaha memastikan pematuhan standard Halal memandangkan Halal adalah keperluan mandatori syarikat.

“Dari pembekal barangan makanan, kaedah pengeluaran, standard kebersihan penyediaan makanan hinggalah kepada pengambilan kakitangan Muslim untuk bekerja di dapur, kami memastikan kesemua perkara ini mematuhi standard Halal,” kata beliau. “Dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM, kami memastikan setiap cawangan McDonald’s memperolehi pensijilan Halal. Standard Malaysia Berkenaan Makanan Halal (MS1500-2009) digunakan oleh JAKIM sebagai asas untuk pensijilan Halal di samping keperluan-keperluan lain.”

“Kami turut memastikan kesemua bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan makanan adalah disahkan Halal dan diluluskan oleh JAKIM. Di samping itu, kami mematuhi syarat-syarat JAKIM yang menghendaki krew yang bekerja di dapur adalah daripada kalangan orang Islam pada setiap masa.”

Pengurus Kanan Rantaian Bekalan McDonald’s Malaysia, Rosedalina Ibrahim berkata, pelanggan-pelanggan Islam tidak perlu khuatir tentang kesahihan produk Halal kerana McDonald’s telah menetapkan garis panduan yang ketat untuk pembekal-pembekal serta mewujudkan satu mekanisma pemantauan bagi memastikan pematuhan pada setiap masa.

Beliau juga berkata McDonald’s hanya berurusan dengan pembekal-pembekal yang diluluskan dan tersenarai dalam pengkalan data JAKIM.

“Untuk memastikan semua produk yang dijual di restoran-restoran McDonald’s di Malaysia dan kandungannya adalah Halal, kami hanya membeli dari pembekal-pembekal tempatan yang mempunyai Sijil Halal JAKIM dan pembekal-pembekal luar negara yang mempunyai Sijil Halal dari pihak-pihak yang diiktirafkan oleh JAKIM.”

“JAKIM juga menjalankan audit di restoran-restoran untuk memastikan semua proses mematuhi standard Halal. Sekiranya ada sebarang isu, kami akan bekerjasama dengan JAKIM untuk menanganinya.”

McDonald’s merupakan restoran perkhidmatan segera yang pertama memperolehi pensijilan Halal dari JAKIM. Ini mencerminkan komitmen dan penekanannya kepada standard Halal.

Wan Mohd Zam menekankan pensijilan Halal adalah penting kerana ia memberi pengesahan, jaminan dan keselesaan kepada pelanggan-pelanggan Islam bahawa produk yang dijual di restoran-restoran McDonald’s di Malaysia adalah Halal.

Halal, McDonald's Malaysia, bersih, JAKIM,Ujar beliau lagi, syarikat tidak akan berkompromi terhadap pematuhan keperluan Halal. Beliau berkata negara ini mempunyai sistem dan fasiliti yang diperlukan untuk pengeluaran makanan Halal dan dengan pimpinan JAKIM sebagai pihak berkuasa utama yang menetapkan garis panduan, McDonald’s Malaysia berjaya mengekalkan pematuhan kepada standard Halal.

“Kami sentiasa yakin dengan adanya pihak JAKIM sebagai satu badan Halal yang bertaraf dunia. Mereka mempunyai syarat-syarat yang ketat yang sememangnya perlu. Walaupun proses-proses ke arah pengiktirafan Halal adalah kompleks dan perlu menjalani prosedur yang ketat, ianya bukanlah satu isu kepada kami kerana ini adalah keutamaan kami.”

Wan Mohd Zam menyatakan bahawa McDonald’s sentiasa berusaha untuk berinteraksi dengan masyarakat umum untuk menjelaskan fakta-fakta berhubung Halal serta menangani sebarang isu berkaitan.

Ketahui lebih lagi mengenai Halal di McDonald’s di sini.